Pengendali LAMP penuhi semua syarat ditetapkan

Pengendah LAMP penuhi semua syarat ditetapkan

KUANTAN: Pemimpin masyarakat dan orang ramai di sini bersetuju dengan keputusan kerajaan membenarkan projek kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd beroperasi tetapi ia perlu mematuhi semua syarat serta peraturan ditetapkan.

Ini berikutan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) memutuskan kilang itu bukan loji nuklear dan mengesyorkan supaya lesen pengendalian sementara (TOL) dikeluarkan bagi membolehkan kilang itu beroperasi.

Ketua Pemuda UMNO Indera Mahkota, Datuk Suhaimi Sulong, bersetuju projek berkenaan diteruskan kerana syarikat terbabit mematuhi semua syarat dan peraturan ditetapkan pakar serta badan penilai sejak pada peringkat awal lagi dan hasilnya tetap sama.


"Tidak ada apa yang diselindungkan daripada rakyat dan semuanya sudah diperjelaskan. Syarikat Lynas mematuhi semua syarat ditetapkan dan sudah tiba masa untuknya memulakan operasi," katanya.

Penyelaras Gabungan NGO Pahang Mendukung Agenda Untuk Nasional (DAUN), Zulfadzli Shmasuddin berkata, projek itu perlu diteruskan kerana ia bakal meningkatkan pertumbuhan ekonomi Pahang, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain meningkatkan nilai ekonomi kawasan sekitar.

"Tidak ada sebab kerajaan perlu tunduk kepada NGO dan parti pembangkang yang mendesak supaya projek ini dihentikan," katanya.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, fakta dan bukti saintifik mengenai pembinaan kilang Lynas tidak membahayakan kesihatan penduduk di daerah ini menutup segala spekulasi yang menjadi isu hangat yang canang pembangkang di negeri ini, sebelum ini.

"Pelbagai pihak termasuk pakar nuklear sudah mengesahkan kilang berkenaan selamat daripada sebarang ancaman yang boleh membahayakan kesihatan dan ini disokong pelbagai bukti saintifik," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Balok Perdana, yang terletak hanya kurang lima kilometer dari tapak projek Lynas, Muhammad Amir Mohsin, 45, berkata, baginya kilang berkenaan tidak membahayakan kesihatan kerana ia sentiasa dipantau kerajaan dan agensinya.

Sumber: Berita Harian, Page: 6
Tarikh: Rabu, 20 Jun 2012

No comments:

Post a Comment