Lynas peroleh lesen operasi sementara

SHAH ALAM - Lynas Corporation dibenar meneruskan operasinya dengan mendapat Lesen Pengendalian Sementara (TOL) untuk membolehkannya memulakan pengeluaran seawal bulan Oktober.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (Lembaga) dalam kenyataan media memaklumkan telah memutuskan agar permohonan TOL Lynas diluluskan tertakluk kepada beberapa syarat.

Lembaga mengeluarkan permit itu berikutan perakuan awal daripada sebuah jawatankuasa kerajaan.

Lembaga dalam mesyuaratnya pada Isnin, 3 September 2012, berpuas had bahawa Lynas telah mematuhi semua aspek teknikal, termasuk kaedah kawalan debu serta imobilisasi bahan radioaktif dalam residu, dan keperluan perundangan yang ditetapkan. Lembaga juga mengambil maklum bahawa Lynas telah membuat komitmen untuk membawa residu Water Leach Purification (WLP) yang terhasil dalam projek LAMP keluar daripada Malaysia dalam bentuk produk komersial.


TOL ini akan membolehkan Lynas sebagai percubaan mengilang bahan mentah pekatan lanthanid secara berperingkat dan terhad serta dikawal selia secara berterusan oleh agensi penguat kuasa.

Loji Lynas di Pantai Timur Malaysia itu telah sedia untuk beroperasi sejak awal Mei, tetapi terbabit dalam pertikaian alam sekitar dan keselamatan dengan penduduk tempatan sejak pembinaannya bermula dua tahun lalu.

Bantahan meluas berhubung kebimbangan terhadap sisa radioaktif telah menarik ribuan orang, dan projek itu menjadi topik hangat.

Sumber: Sinar Harian, M/s 12
Tarikh: Khamis, 6 September 2012

No comments:

Post a Comment