Kerajaan terus perjelas isu Lynas

Kerajaan akan terus berinteraksi dengan rakyat mengenai operasi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, bagi menjawab segala kemusykilan dan persoalan yang masih ada.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pihaknya sudah memberi penjelasan terperinci mengenai LAMP dan aspek saintifik, tetapi isu membabitkan undangundang perlu diserah kepada pihak berkuasa berkaitan. Menepati piawaian antarabangsa "Apa yang kita dapat lakukan adalah meneruskan penjelasan kepada rakyat bahawa kilang ini selamat, selebihnya kita serahkan kepada pihak berkuasa mengikut peruntukan undang-undang negara. Dari segi sains, kami tidak ada apa-apa lagi untuk diperkatakan selain kilang ini selamat dan menepati piawaian antarabangsa.


"Hakikatnya, tiada projek di dunia ini yang 100 peratus diterima orang ramai, lebih-lebih lagi projek seumpama ini. Namun kita akan terus memberi penjelasan bagi meyakinkan mereka," katanya selepas merasmikan Pusat Pekerja Berpengetahuan (KDC) MSC Malaysia, di sini semalam. Beliau diminta mengulas reaksi beberapa kumpulan yang masih tidak berpuas hati dengan operasi LAMP yang pada 3 September lalu, melalui Lynas Corporation Ltd (Lynas) menerima Lesen Pengendalian Sementara (TOL) diluluskan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) bagi tempoh dua tahun sehingga 2 September 2014.

Lynas bagaimanapun dikenakan syarat ketat termasuk wajib mengemukakan permohonan sebelum memulakan pengeluaran percubaan walaupun tidak menggunakan bahan mengandungi radioaktif. Syarat lain setiap operasi perlu dilaporkan kepada LPTA untuk kelulusan serta semua kegiatan dalam kilang akan dipantau.

Sumber: Berita Harian, M/S: 15
Tarikh: Rabu, 12 September 2012

No comments:

Post a Comment