Kos projek Lynas naik kira kira RM13 juta

MELBOURNE - Pelombong nadir bumi, Lynas Corporation (Lynas) berkata, ujian akhir kilang penapisan nadir buminya di Pahang telah 64 peratus siap pada akhir bulan Jun lalu.

Katanya, kos akhir projek itu dijangka meningkat kira-kira A$4 juta (RM13 juta) kerana tuntutan subkontraktor dan lain-lain kos pengurusan projek.

"Jumlah kos pada fasa pertama pembinaan kilang di Malaysia itu adalah kira-kira A$652.8 juta (RM2.15 bilion)," katanya dalam laporan suku tahunan syarikat itu yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan fasa pertama kilang itu selesai dalam tempoh tiga bulan sehingga 30 Jun lalu dan ia kini meneruskan kerja-kerja pengembangan projek yang dijadualkan siap pada awal tahun hadapan. Katanya, program kesediaan operasi adalah 97 peratus siap pada akhir suku tersebut.


Tambahnya, keadaan makroekonomi di China kekal lembab kerana harga nadir bumi merosot ketara berbanding paras tahun lalu.

" Jepun yang merupakan pasaran eksport terbesar dunia untuk nadir bumi juga mengalami keadaan perkilangan yang lemah, didorong oleh permintaan yang lebih lemah pada sektor peralatan pengangkutan, kimia dan jentera," kata Lynas.

Ia memaklumkan keadaan itu telah menyebabkan banyak syarikat pengguna nadir bumi menjalankan operasi mereka dengan inventori yang dikurangkan.

Ia bagaimanapun optimis pemulihan dalam aktiviti perkilangan global akan meningkatkan semula permintaan untuk nadir bumi 
-Bernama

Sumber: KOSMO, Page: 51
Tarikh: Rabu, 1 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment