MITI yakin LAMP tarik pelabur, berpotensi

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyifatkan Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) sebagai projek strategik dan berpotensi menarik pelaburan baru, terutama dalam sektor hiliran berteknologi tinggi, industri menjimatkan tenaga dan mesra alam.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata syarikat Lynas memohon pengecualian cukai pendapatan 100 peratus bagi tempoh 15 tahun, namun pada Oktober 2007 Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan meluluskan untuk tempoh 12 tahun.

Katanya, projek LAMP dijangka menyumbang kepada ekonomi negara dari segi peningkatan pendapatan pertukaran mata wang asing dengan kemasukan modal asing sebanyak RM2.5 bilion.

"Antara lain ialah penjanaan aktiviti ekonomi perkhidmatan sebanyak RM65.8 juta setahun dan penggunaan utiliti seperti elektrik dan air berjumlah RM52.8 juta setahun.

"Selain itu, ia juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung kepada penduduk tempatan.

"Limpahan kepada industri sokongan huluan tempatan seperti kilang baru asid sulfurik di Gebeng dengan pelaburan sebanyak RM200 juta, pembesaran kilang asid hidroklorik di Kemaman (pelaburan RM100 juta) dan kemudahan tambahan pembekal Hydrated Lime membabitkan pelaburan RM5 juta," katanya dalam kenyataan di Parlimen, semalam.

Mustapa berkata, potensi untuk menarik pelaburan baru, terutama dalam sektor hiliran berteknologi tinggi dan hijau yang akan menggunakan keluaran Lynas sebagai bahan mentah seperti pembuatan produk telefon bimbit, pemacu cakera, turbin angin, bateri kereta hibrid dan paparan skrin rata.

Beliau berkata, insentif pengecualian cukai kepada Lynas adalah berdasarkan faktor seperti industri strategik, pembentukan ekosistem bagi industri hiliran berteknologi tinggi dan hijau serta limpahan kepada industri sokongan tempatan dan sedia wujud.

Katanya, beliau memberi penjelasan berhubung perkara itu apabila isu insentif pengecualian cukai kepada syarikat Lynas dibangkitkan dalam perbahasan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Projek LAMP pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

No comments:

Post a Comment