MITI jamin kesihatan awam tidak terjejas

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberi jaminan soal kesihatan dan keselamatan awam tidak akan dikompromi oleh Lynas Advanced Materials Plants (LAMP).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan sudah mengarahkan LAMP melalui siri penilaian pakar untuk menentukan sama ada ia mengancam keselamatan dan kesihatan orang ramai.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa perkara utama kerajaan adalah rakyat didahulukan dengan memastikan kesihatan dan keselamatan awam tidak terjejas," katanya dalam kenyataan dikeluarkan, semalam.

Beliau berkata, fungsi kerajaan, dalam kes di mana semua syarat yang dikenakan agensi pengawalseliaan dipatuhi, adalah seseorang pemohon harus dibenar untuk menjalankan projek.

Katanya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengeluarkan Lesen Pengilang kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd pada Januari 2008 selepas menerima maklum balas daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Lesen itu dikeluarkan tertakluk kepada pematuhan peruntukanperuntukan Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

"Adalah penting untuk ditekankan bahawa Lynas bukan loji nuklear tetapi kilang pemprosesan bahan kimia dan bijih nadir bumi yang digunakannya tidak dikategorikan sebagai mineral radioaktif," katanya.

Bijih itu secara saintifiknya dikelaskan sebagai NORM (bahan radioaktif yang berlaku semula jadi) dan mempunyai tahap radiasi yang jauh di bawah paras bahaya, katanya.

Beliau berkata, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga menentukan jika projek itu menimbulkan risiko yang tidak boleh diterima untuk kesihatan dan keselamatan awam pada Jun 2011, dengan mengambil kira pandangan dikemukakan kumpulan kepentingan awam dan orang ramai. 
-BERNAMA

Resource: Berita Harian, Page: 7
Date: Thursday, 21 June 2012

No comments:

Post a Comment