PSC Kaji Pandangan Semua Pihak

Jawatankuasa mahu gambaran sebenar aspek keselamatan projek kilang Lynas

PASIR GUDANG: Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai projek kilang nadir bumi di Gebeng, Pahang akan mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk orang awam, pakar dan ahli akademik serta ahli politik.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pandangan semua pihak itu penting bagi mendapatkan gambaran sebenar dan mendengar secara asas pendirian semua pihak yang prihatin terhadap aspek keselamatan.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, PSC akan menjadi medium bagi mengenal pasti sama ada pandangan itu berlandaskan pengetahuan, persepsi, kebenaran atau menjadi bahan politik pihak tertentu.



“Jawatankuasa ini yang dianggotai sembilan orang, iaitu empat wakil Barisan Nasional (BN), tiga pembangkang dan seorang anggota bebas akan mendengar pandangan semua pihak berhubung projek ini.

“PSC akan menjadi medium bagi mendengar pandangan semua pihak. Ini sebahagian usaha kerajaan untuk memberi peluang kepada rakyat memberi pandangan,” katanya, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa Kabinet memberi lampu hijau kepada penubuhan PSC berhubung isu projek berkenaan.

Penubuhan jawatankuasa itu bagi meningkatkan kesedaran dan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan projek berkenaan berikutan ada antaranya yang masih bimbang serta ragu projek terbabit bakal memberi kesan buruk kepada keselamatan serta kesihatan masyarakat di sekitar kawasan kilang itu.

Mohamed Khaled berkata, PSC juga akan menjelaskan kepada rakyat mengenai kilang itu, terutama penduduk sekitar projek berkenaan supaya mereka mendapat maklumat sebenar.

“Negara tidak akan maju jika semua perjalanan negara dipolitikkan berasaskan kepada persepsi semata-mata. Penjelasan perlu diberikan kepada masyarakat melalui ilmu, pengetahuan dan bukti saintifik daripada sumber mahir,” katanya.

Sumber : Berita Harian – 19 Mac 2012

No comments:

Post a Comment