Keyakinan Rakyat Isu Lynas Dipertingkat

IPOH: Datuk Seri Najib Razak menjelaskan keputusan Kabinet menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) berhubung projek kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang, bertujuan meningkatkan kesedaran dan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan projek itu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berpendapat masih ada ruang untuk meningkatkan keyakinan orang ramai berikutan ada antara mereka yang masih bimbang dan ragu-ragu projek itu memberi kesan buruk kepada keselamatan dan kesihatan.

Justeru, katanya “PSC akan benfungsi untuk melaksanakan proses pembabitan bersama dengan orang ramai bagi memastikan mereka memahami projek berkenaan.”


"Satu daripada perkara yang kita tekankan bahawa Lynas dan semua projek atau program yang kita nak laksanakan perlu memenuhi kriteria, iaitu mesti melakukan engagement (pembabitan) sepenuhnya dengan rakyat dan perlu diterima oleh rakyat supaya sesuatu yang kita mahu lakukan tidak menimbulkan penentangan atau kebimbangan rakyat.”

"Dalam isu Lynas, kita rasakan masih ada ruang yang perlu kita penuhi, yakni (dari segi) engagement dan keyakinan iaitu meyakinkan pihak yang masih curiga sama ada projek ini benar-benar selamat atau tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru empat tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wan Hwa 2, Menglembu, di sini, semalam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sen Mohamed Nazri Aziz, berkata Kabinet memberi lampu hijau kepada penubuhan jawatankuasa yang dianggotai sembilan orang iaitu empat wakil Barisan Nasional (BN), tiga pembangkang serta seorang anggota bebas dan diketuai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Sen Mohamed Khaled Nordin.

Ditanya sama ada PSC boleh memutuskan untuk menentukan nasib projek Lynas, Najib berkata: "Tidak, ia hanya membabitkan proses pembabitan dengan orang ramai dan mereka perlu melihat semua aspek berkaitan projek, terutama faktor keselamatan dan sebarang kemungkinan ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan." Sementara itu, Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata Lynas tidak patut meneruskan projek kilang memproses nadir buminya di Gebeng, Kuantan, sehingga Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) mengemukakan hasil kajian mereka dalam tempoh tiga bulan lagi.

Beliau berkata, pihaknya menyokong keputusan Kabinet menubuhkan jawatankuasa itu bagi menyelesaikan isu yang menimbulkan kebimbangan rakyat namun tidak bersetuju sekiranya syarikat terbabit meneruskan operasi kilangnya menggunakan Lesen Operasi Sementara (TOL) yang diberikan Januari lalu.

"Lynas menimbulkan banyak reaksi dan pandangan berbeza rakyat.”

“Penubuhan PSC satu langkah baik untuk menjadikannya lebih terbuka kepada rakyat," katanya pada sidang media di ibu pejabat GERAKAN di sini, semalam.

Sumber : Berita Minggu - 18 March 2012

No comments:

Post a Comment