Kenyataan Akhbar Mengenai Isu Lynas

YB. Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai
Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP)
pada Sesi Pendengaran Awam
Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP)
di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang



1. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan Lynas merakamkan setinggi penghargaan dan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang telah hadir dan memberikan pandangan dan saranan kepada ahli-ahli Jawatankuasa. Semua pandangan dan maklum balas yang telah diberikan amat penting untuk membantu Jawatankuasa dalam usaha mencari kebenaran dan mengemukakan pandangan yang berwibawa kepada Kerajaan. Jawatankuasa juga memandang dengan serius beberapa isu yang dibangkitkan.

2. Pertama ialah betapa pentingnya isu ini ditangani dengan bukti dan pendekatan saintifik. Semua pandangan yang berasaskan sentimen tidak akan membantu Jawatankuasa ini untuk mencari kebenaran yang diperlukan. Jawatankuasa berpandangan bahawa hanya melalui dapatan saintifik sahaja maka kita dapat menanggani isu Lynas ini dengan berwibawa. Sains boleh dibuktikan dan oleh itu, semua persoalan saintifik dan teknikal perlu ditangani dengan sains jua. Jawatankuasa akan menyarankan agar semua pandangan yang telah dikemukakan kepada Jawatankuasa ini akan dinilai dari segi kredibiliti saintifiknya dan usaha akan dilakukan untuk mendapatkan ‘scientific experts’ bagi memberikan pandangan yang bebas terhadap isu-isu yang dikemukakan.

3. Kedua, Jawatankuasa berpandangan bahawa projek Lynas telah mengundang reaksi yang berbeza. Tidak semua mereka yang hadir menentang sepenuhnya. Kebanyakan mereka berpandangan jika projek ini diteruskan, maka mereka memerlukan ‘an extremely stringent enforcement measures to ensure compliance’.

4. Ketiga, kebanyakan mereka yang terlibat dalam pendengaran awam ini telah merujuk kepada laporan yang telah dibuat oleh kumpulan pakar dari International Atomic Energy Agency. IAEA adalah badan antarabangsa yang sangat berwibawa dan keputusan kerajaan untuk menjemput mereka bagi menilai kesesuaian projek ini menunjukkan betapa Kerajaan amat mengutamakan kepentingan awam.

5. Keempat, terdapat anggapan bahawa Lynas kurang melakukan ‘public engagement’ dari peringkat awal pelaksanaan projek ini. Projek yang sebegini besar serta strategik memerlukan proses ‘engagement’ dengan semua pemegang taruh yang melebihi ‘ordinary expectation’.

6. Akhirnya, keseluruhan isu Lynas ini memerlukan ketelusan dari semua aspek. Keyakinan awam hanya akan dapat diperkukuhkan melalui maklumat yang benar dan disokong dengan dapatan saintifik. Lynas adalah projek strategik yang dampaknya amat besar terhadap masa hadapan pembangunan sains dan teknologi di Malaysia. Ia adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh Malaysia jika kita ingin menjadi negara maju. Tanggungjawab Jawatankuasa ini adalah untuk memastikan semua kebimbangan, saranan serta teguran masyarakat awam diberikan perhatian tinggi agar projek sebegini tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan kesejahteraan masyarakat awam serta kelestarian alam sekitar.

Tarikh : 11 Mei 2012

No comments:

Post a Comment