KUALA LUMPUR: Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) mendapat kelulusan lesen pengendalian sementara (TOL) selepas memenuhi tiga syarat membabitkan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).
Semasa sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Lamp pada 10 Mei lalu di Universiti Malaysia Pahang, tiga syarat itu ialah:
i. Lynas perlu mengemukakan semua aspek berkenaan PDF.
ii. Pelan dan lokasi PDF perlu dikemukakan tanpa mengambil kira hasil penyelidikan dan pembangunan & pengkomersialan, pengkitaran dan penggunaan semula bahan residu.
iii. Pelan dan lokasi PDF perlu dikemuka dan diluluskan dalam tempoh masa lesen dan tidak melebihi 10 bulan daripada tarikh pengeluaran TOL.
AELB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin berkata, Lynas mematuhi semua aspek teknikal, termasuk kaedah kawalan debu serta imobilisasi bahan radioaktif dalam residu dan keperluan perundangan ditetapkan.
Agensi itu juga mengambil maklum bahawa Lynas sudah membuat komitmen membawa residu Water Leach Purification (WLP) yang terhasil dalam projek Lamp keluar dari Malaysia dalam bentuk produk komersial. “Sehubungan itu, AELB memutuskan mengeluarkan TOL kepada Lynas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa dari 3 September 2012 sehingga 2 September 2014. TOL ini akan membolehkan Lynas sebagai percubaan mengilang bahan mentah pekatan lanthanid secara berperingkat dan terhad serta dikawal secara berterusan oleh agensi penguatkuasa,” katanya.
Pada sesi pendengaran 10 Mei itu juga dimaklumkan bahan mentah (pekatan lantanid) yang akan digunakan oleh Lynas (M) Sdn Bhd tidak ditakrifkan sebagai bahan radioaktif, tetapi sebagai bahan mengandungi unsur radioaktif semula jadi.
Sehubungan itu, residu yang akan dikeluarkan dari Lamp juga ditakrifkan sebagai bukan sisa radioaktif, menerusi pemprosesan lantanid untuk mengasingkan bahan nadir bumi, residu yang terhasil ialah Water Leach Purification (WLP), Flue Gas Desulphurization (FGD) dan Neutralized Under-Flow (NUF).
Residu berkenaan mengandungi sejumlah kecil torium 232 iaitu bahan radioaktif yang lemah dan ia sememangnya wujud secara semula jadi dalam semua bahan galian.
Semua residu dihasilkan akan disimpan sementara di dalam Kemudahan Penstoran Sementara (RSF) di kawasan tapak kilang sebelum pelupusan akhir dilaksanakan. RSF dilapisi dengan bahan high-density polyethylene berkualiti tinggi, lapisan tanah liat dan dilengkapi dengan sistem pengesan kebocoran, bagaimanapun pihak Lynas akan melakukan program dan terhadap residu yang terhasil bagi tujuan guna semula dan pengkomersilan. Sekiranya dan terhadap residu dan pengkomersialan gagal, ia hendaklah diurus dan disimpan di PDF, jika gagal menempat dan membina PDF, semua residu akan dihantar pulang ke sumber asal.
Sumber: Harian Metro, M/S: 35
Tarikh: Jumaat, 7 September 2012
No comments:
Post a Comment