Lynas dipantau 24 jam, perlu mohon pengeluaran percubaan

DENGKIL 7 Sept. - Lynas Corporation Ltd. (Lynas) yang mendapat lesen pengendalian sementara daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada 3 September lalu, masih perlu membuat permohonan sebelum memulakan pengeluaran percubaan.

Ketua Pengarah AELB, Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan berkataoperasi Lynas juga dipantau 24 jam setiap hari oleh empat pegawai sains nuklear yang ditempatkan di kilang tersebut di Gebeng.

Beliau berkata, Lynas juga akan mengajak orang ramai, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media untuk melihat pengeluaran percubaannya bagi membuktikan syarikat tersebut beroperasi secara telus.


"Lynas perlu memastikan pengeluaran percubaannya nanti akan berjalan lancar tanpa masalah kebocoran dan sebagainya, apa-apa masalah yang berlaku mungkin menyebabkan ia dikenakan tindakan dan menanggung kerugian. "Pelanggaran terhadap syarat lesen pengendalian sementara boleh menyebabkan Lynas dikenakan penalti, lesennya digantung atau diberhentikan bergantung kepada jenis kesalahan," katanya pada taklimat media di sini hari ini. AELB mengeluarkan lesen pengendalian sementara kepada Lynas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 3 September lalu selepas berpuas hati bahawa Lynas mematuhi semua aspek teknikal, termasuk kaedah kawalan debu, imobilisasi bahan radioaktif dalam residu serta keperluan perundangan yang ditetapkan.

AELB juga mengambil maklum bahawa Lynas membuat komitmen untuk membawa residu Water Leach Purification (WLP) yang terhasil keluar dari Malaysia dalam bentuk produk komersial.

Lynas dalam kenyataannya memberitahu, lesen pengendalian sementara itu akan membolehkan pemprosesan lantanid secara berperingkat yang kuantitinya dihadkan dan dipantau secara berterusan oleh pihak berkuasa.

Ditanya bila Lynas akan memulakan operasi, Raja Abdul Aziz yang juga Setiausaha Eksekutif Lembaga AELB berkata, pihaknya belum menerima permohonan pengeluaran percubaan daripada Lynas.

"Mereka perlu membuat permohonan sebelum melakukan pengeluaran percubaan walaupun ia akan dilakukan tanpa menggunakan bahan yang mengandimgi radioaktif.

"Setiap operasi di kilang Lynas perlu dilaporkan dan diluluskan, kita akan memantau apa jua aktiviti dalam kilang itu," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, M/S: 13
Tarikh: Sabtu, 8 September 2012

No comments:

Post a Comment