10 penduduk gagal cabar keputusan AELB

Putrajaya: Sepuluh penduduk Gebeng dan Kuantan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan di sini semalam bagi mendapatkan kebenaran untuk mencabar keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) memberikan lesen operasi sementara (TOL) kepada Lynas Malaysia Bhd di Gebeng, Pahang.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali, mengetuai panel tiga hakim, memutuskan penduduk berkenaan perlu terlebih dulu merayu kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung pemberian TOL kepada kilang Lynas sebelum membawanya ke mahkamah untuk memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar pemberian TOL.


Beliau berkata tiada peraturan tetap berhubung bila penduduk berkenaan perlu merayu kepada menteri.Katanya, Mahkamah Rayuan tidak terpengaruh dengan keadaan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rohana Yusof terkhilaf ketika memutuskan menolak permohonan kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar pemberian TOL yang dikemukakan oleh penduduk berkenaan. Kemuka rayuan kepada menteri "Selepas membaca Seksyen 32 Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984, Mahkamah Rayuan berhak untuk menentukan bahawa perayu (penduduk) perlu terlebih dulu merayu (kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)," kata Ramly ketika menolak rayuan penduduk atas satu-satunya alasan iaitu mereka perlu terlebih dulu mengemukakan rayuan kepada menteri berkenaan.

Beliau berkata ada fakta tertentu yang perlu disahkan oleh pihak yang hanya boleh dilakukan penduduk dengan mengemukakan rayuan kepada menteri.

"lni bagi memastikan isu dijelaskan dan boleh diselesaikan secara muktamad dalam semakan kehakiman serta bukannya berupa pertikaian fakta serta dakwaan," katanya yang bersidang bersamasama Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Anantham Kasinater.

Dalam permohonan kebenaran mereka, penduduk terbabit menamakan AELB yang memantau pengeluaran, aplikasi dan penggunaan bahan tenaga atom serta radioaktif, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan AELB mengeluarkan TOL kepada Lynas. Mereka juga memohon perintah injunksi melarang AELB daripada mengeluarkan sebarang lesen sementara atau tetap kepada Lynas kecuali atau sehingga syarikat itu mengemukakan laporan penilaian lengkap mengenai kesan kilang itu terhadap alam sekitar kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan sehingga laporan berkenaan diluluskan. BERNAMA

Sumber: Berita Harian, Page: 16
Tarikh: Selasa, 11 September 2012

No comments:

Post a Comment