Lynas Penduduk bawa kes ke Mahkamah Rayuan

KUANTAN: Penduduk di Gebeng dan Balok berjaya memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan Putrajaya berhubung semakan kehakiman terhadap isu Lynas.

Rayuan dibuat pada 9 Mei lalu melalui pasukan peguam yang dilantik setelah permohonan mereka ditolak Hakim Mahkamah Tinggi, 28 April lalu. Permohonan akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 10 September, jam 10 pagi.

Sehubungan itu, Stop Lynas Coalition (SLC) merayu sokongan moral dari segenap lapisan masyarakat khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur untuk sama-sama hadir bagi menyatakan bantahan terhadap Lynas dan menyokong perjuangan penduduk sekitar kilang nadir bumi itu.


Menurut pengerusi SLC yang juga pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Andansura Rabu, pihaknya akan menyediakan bas bagi warga Balok, Gebeng dan Kuantan yang ingin bersama-sama hadir pada hari tersebut.

"Kami mengharapkan agar warga Balok, Gebeng dan Kuantan yang prihatin dapat meluangkan masa mereka pada hari tersebut dan dengan pengumuman awal sebegini dapatlah rakan-rakan menguruskan cuti dengan majikan dan sebagainya.

"Mereka yang ingin menyertai bolehlah berhubung dengan mana-mana ahli jawatan kuasa SLC ataupun Badar (Badan Bertindak Anti Rare Earth)," ujar beliau dalam sidang media khas berhubung perkara tersebut.

Sumber: Harakah, M/S: 21
Tarikh: Isnin, 13 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment