Fasa pertama kilang Lynas siap dibina

Kilang Bahan Maju Lynas Pelaburan keseluruhan bernilai RM1.3 bilion Pelaburan Fasa Pertama bernilai RM618 juta Menyediakan 350 pekerjaan tetap

Syarikat tak sabar mula operasi LAMP sekaligus bekal produk akhir tahun.

Oleh Shahrizan Salian shah rizan@bharian.com.my di Kuala Lumpur

Lynas Corporation Ltd sudah menyiapkan fasa pertama pembinaan Kilang Bahan Maju Lynas (LAMP) di Gebeng, Pahang.

Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis, berkata perkembangan itu membolehkan kumpulan kini berada pada landasan kukuh untuk memainkan peranan penting dalam pasaran global nadir bumi, industri diceburinya sejak 10 tahun lalu berikutan mempunyai deposit besar bahan itu di Australia Barat.


"Kami di Lynas tidak sabar menunggu permulaan operasi LAMP, sekali gus mampu membekalkan produk kepada pelanggan akhir tahun ini.

"Saya menghargai dedikasi kakitangan dan kontraktor Lynas, kesabaran pelabur dan pelanggan serta kesungguhan pengawal selia Malaysia dan pakar antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Curtis berkata, Lynas memiliki komitmen penuh terhadap nilai keselamatan, kesihatan, alam sekitar dan kemasyarakatan, justeru berazam untuk mencapai sasaran sifar kemudaratannya.

"Komitmen kumpulan terhadap keselamatan bermula daripada reka bentuk dan pembinaan LAMP hinggalah melalui pelaksanaan, operasi dan penambahbaikan berterusan," katanya.

Beliau menambah, Lynas menyedari wujud perdebatan sihat dan terbuka dalam kalangan sesetengah komuniti di negara ini mengenai projek itu. Katanya, walaupun data saintifik serta pemeriksaan intensif oleh pakar antarabangsa menunjukkan projek itu selamat, ada sesetengah pihak yang masih gusar dengan tahap keselamatan projek berkenaan.

"Punca utama kebimbangan masyarakat ialah berhubung kaedah penyimpanan serta pengurusan sisa yang dihasilkan daripada proses menapis bahan," katanya.

Bagi menanganinya, Curtis berkata Lynas bertanggungjawab memastikan semua bahan yang menjadi punca kebimbangan utama kepada masyarakat dibuang dengan cara menukarnya menjadi produk sampingan dan dieksport dalam bentuk yang boleh diterima pasaran global serta menepati semua peraturan tempatan dan konvensyen antarabangsa.

Katanya, Lynas juga akan meneruskan usaha berhubung dengan masyarakat di samping program pendidikan dan kesedaran di negara ini.

"Lynas mahu membantu membangunkan asas industri moden di Malaysia yang tertumpu kepada pengeluaran teknologi tinggi menggunakan nadir bumi katanya.

Nicholas Curtis

Sumber: Berita Harian, M/S: 5
Tarikh: Wednesday, 29 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment