TEKS PEMBENTANGAN USUL LAPORAN JAWATANKUASA PILIHAN KHAS MENGENAI PROJEK LYNAS ADVANCED MATERIALS PLANT (LAMP)

TEKS PEMBENTANGAN USUL

LAPORAN JAWATANKUASA PILIHAN KHAS MENGENAI PROJEK LYNAS ADVANCED MATERIALS PLANT (LAMP)

OLEH YB. MENTERI PENGAJIAN TINGGI



USUL

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan:-

“Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 86(5) dan keputusan Usul yang diluluskan oleh Dewan ini pada 20 Mac 2012, maka Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dibentangkan di atas Meja Mesyuarat di dalam Dewan ini sebagai Kertas Dewan No. DR. 3 Tahun 2012 hendaklah diterima dan dipersetujukan.”

Tuan Yang di-Pertua,


Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) telah diusul dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Mac 2012 di bawah Peraturan 81(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Terma rujukan Jawatankuasa ini adalah untuk meneliti isu-isu keselamatan, kesihatan dan alam sekitar berhubung dengan projek LAMP; dan meneliti proses dan pelaksanaan prosedur perlesenan dan kelulusan berdasarkan peruntukan undang-undang serta standard keselamatan yang berkuat kuasa.

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek LAMP dianggotai oleh enam (6) ahli yang terdiri daripada saya selaku Pengerusi; YB. Dato’ Haji Rahman bin Haji Dahlan (Ahli bagi Kawasan Kota Belud); YB.Tuan Teng Boon Soon (Ahli bagi Kawasan Tebrau); YB. Puan Hajah Nancy binti Haji Shukri (Ahli bagi Kawasan Batang Sadong); YB.Tuan Liang Teck Meng (Ahli bagi Simpang Renggam); dan YB. Dato’ Zulkifli bin Nordin (Ahli bagi Kawasan Kulim Bandar Baharu). Setiausaha Dewan Rakyat bertindak sebagai Setiausaha kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek LAMP di bawah Peraturan Mesyuarat 83(8). Tempoh masa pelantikan Jawatankuasa ini adalah selama tiga (3) bulan.


Tuan Yang di-Pertua,

Sebagai melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberikan maklum balas yang bebas, berwibawa serta bersandarkan dapatan saintifik, Jawatankuasa Pilihan Khas ini telah mengambil pendekatan berikut:

(i) Menyediakan ruang seluas mungkin untuk mendengar, merujuk dan mendapat penjelasan daripada semua pemegang taruh Projek LAMP. Ini melibatkan penglibatan semua kementerian, jabatan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan, pihak pengurusan Projek LAMP, masyarakat sivil, pergerakan politik, kumpulan pakar, ilmuan serta orang ramai; dan

(ii) Merujuk semua persoalan saintifik dan teknikal yang telah dibangkitkan semasa sesi pendengaran awam kepada kumpulan pakar yang berkaitan untuk mendapat penjelasan terperinci.

Jawatankuasa ini telah mengadakan beberapa siri mesyuarat termasuk beberapa sesi pendengaran awam. Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas telah diadakan pada 18 April dan disusuli pada 4, 5, 7 & 11 Jun 2012 untuk merumuskan dapatan Jawatankuasa. Sesi Pembentangan oleh agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan dengan Projek LAMP pula telah diadakan pada 3 Mei 2012.

Pada 9 Mei 2012, bersempena dengan International Symposium on Rare Earths, ahli-ahli Jawatankuasa telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pakar antarabangsa dalam bidang nadir bumi. Antaranya ialah Jack Lifton, Founding Principal of Technology Metals Research, LLC; Alastair Neill, Executive Vice President of Dacha Strategic Metals; Professor Dr. Chun-Hua Yan, Peking University; dan Cristoph Wilheim, Scientist, Karlsruhe Institute of Technology.

Lawatan Tapak ke LAMP di Gebeng, Pahang pula telah diadakan pada 10 Mei 2012. Bagi memastikan dapatan Jawatankuasa ini bersifat inklusif, tiga siri sesi pendengaran awam telah diadakan. Sesi pertama diadakan di Kuantan pada 10 dan 11 Mei 2012 dan yang terakhir, di Kuala Lumpur pada 21 Mei 2012. Kesemua sesi pendengaran awam tersebut telah mendengar representasi dari seramai 60 individu yang mewakili pelbagai pertubuhan/persatuan berdaftar, wakil masyarakat sivil dan pertubuhan profesional, pakar-pakar perubatan, sains nuklear, dan keselamatan sinaran, wakil pertubuhan politik serta orang ramai yang prihatin.


Isu-Isu Yang Menjadi Kebimbangan Awam


Tuan Yang di-Pertua,



Secara umumnya, Jawatankuasa telah mendengar pelbagai reaksi, pandangan, kritikan serta saranan yang semuanya mewajarkan penelitian yang mendalam serta penjelasan berdasarkan sains. Jawatankuasa mengambil maklum kebimbangan beberapa pihak tentang perkara-perkara berikut:



1. Krisis keyakinan tentang keupayaan Kerajaan untuk melaksananakan “rigorous enforcement measures” jika Projek LAMP dilaksanakan.

2. Kebimbangan masyarakat awam yang mendalam terhadap pelbagai aspek keselamatan dedahan sinaran (radiation exposure) dan dampak projek ini terhadap kesihatan awam.

3. Potensi pencemaran alam sekitar dalam jangka masa panjang dan keupayaan Kerajaan dalam menangani krisis kecemasan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.

4. Kegagalan pengurusan Projek LAMP memberikan kepastian pelbagai aspek pengurusan residu terutama jaminan tentang tempat pembuangan kekal residu.

5. Ketelusan keseluruhan proses kelulusan dan pelesenan Projek LAMP serta kewibawaan pelbagai agensi penguakuasa serta penjawat awam dalam menangani keraguan dan kebimbangan masyarakat awam.

6. Terbatasnya ‘public engagement’ berkaitan projek tersebut.


Pemerhatian, Penelitian, Pandangan dan Syor Jawatankuasa Pilihan Khas

Aspek Keselamatan Dedahan Sinaran (Radiation Exposure)


Tuan Yang di-Pertua,


Jawatankuasa berpandangan bahawa terdapat kebimbangan yang serius dikalangan orang ramai terhadap terhadap dedahan sinaran atau ‘radiation exposure’. Kebimbangan ini timbul kerana wujud persepsi yang operasi Projek LAMP adalah sama seperti operasi sebuah loji nuklear atau seumpamamnya. Perbandingan mereka juga selalu menjurus kepada masalah di kilang Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah.

Kebimbangan ini telah dirujuk oleh Jawatankuasa kepada kumpulan pakar bagi mendapatkan penjelasan saintifik. Jawatankuasa telah dimaklumkan tentang perkara-perkara berikut;

Projek LAMP adalah sebuah projek pemprosesan bahan berasaskan kimia dan bukan sebuah logi berasaskan nuklear atau sesuatu seumpamanya;

Melalui anggaran saintifik, kadar purata dos sinaran bagi pekerja dan pengendali di tapak Projek LAMP adalah sekitar 2 mSv (millisievert) setahun berbanding had dos tahunan yang dibenarkan adalah 20 mSv setahun. Untuk orang awam, anggaran dos sinaran adalah dalam anggaran 0.002 mSv setahun berbanding had dos tahunan dibenarkan adalah 1mSv setahun. Ini menunjukkan bahawa kadar dos sinaran di Projek LAMP, berdasarkan piawaian yang diterima pakai, adalah rendah dan selamat;

Proses kilang Projek LAMP adalah tertumpu dan melibatkan tindakbalas kimia dan fizikal (cracking, leaching, extraction and finishing) dalam menghasilkan lanthanum dan tiada sama sekali unsur tindakbalas nuklear;

Jawatankuasa juga dimaklumkan bahawa bahan mentah (pekatan lantanid) yang akan digunakan oleh kilang Lynas adalah tidak ditakrifkan sebagai bahan radioaktif tetapi sebagai bahan yang mengandungi unsur radioaktif semulajadi (naturally occuring radioactive material – NORM). Sehubungan itu, residu yang akan dikeluarkan daripada Projek LAMP juga ditakrifkan sebagai bukan sisa radioaktif, tetapi ditakrifkan sebagai residu yang mengandungi NORM. Amalan di kebanyakan negara lain kecuali Malaysia ialah bahan yang mengandungi unsur radioaktif semulajadi (NORM) yang mengandungi uranium dan torium, ialah ia tidak dikawal dan dilabelkan sebagai bahan radioaktif. Tetapi di Malaysia, NORM adalah dalam kawalselia AELB berdasarkan Peraturan-peraturan Perlindungan Sinaran (Pengangkutan) 1989. Bahan ini perlu dikawal dan dilabel kerana mengandungi keradioaktifan kandungan uranium atau torium semulajadi yang melebihi 1Bq/g (Becquerel per gram) berbanding dengan ketetapan 10Bq/g di Australia dan juga standard antarabangsa yang ditetapkan oleh IAEA. Malaysia telah memperkenalkan peraturan yang lebih ketat daripada standard antarabangsa. Oleh itu secara tidak disedari, telah meningkatkan kebimbangan masyarakat awam walaupun standard antarabangsa membenarkan had yang lebih tinggi;

Jawatankuasa dimaklumkan bahawa bahan mentah yang akan diproses di kilang Lynas adalah pekatan lantanid yang dianggarkan mengandungi kandungan torium sebanyak 0.16% atau bersamaan dengan 1,600 parts per million (ppm) (conversion unit Bq/g bersamaan 5.71 Bq/g torium). Peratusan ini amat rendah berbanding bahan mentah seperti Amang (atau monazite yang digunakan oleh kilang Asian Rare Earth (ARE)) yang terhasil dari aktiviti perlombongan bijih timah. Kandungan torium bagi Amang dianggarkan sebanyak 7% iaitu 45 kali ganda lebih tinggi. Bagi residu yang dihasilkan oleh LAMP pula, kandungan torium yang dianggarkan ialah 0.165% atau bersamaan dengan 1,650 parts per million (ppm) (conversion unit Bq/g bersamaan 5.9 Bq/g torium). Jika dibandingkan dengan Asian Rare Earth Sdn. Bhd. (ARE), residu yang terhasil dianggarkan mempunyai kandungan torium sekitar 8% iaitu 50 kali ganda lebih tinggi;

Perbandingan yang dibuat dengan Australia mengenai jarak penempatan penduduk dalam 30 kilometer radius di sekeliling kilang bagi mengurangkan risiko kesan radiasi adalah tidak tepat kerana berdasarkan kenyataan agensi penguat kuasa Australia kepada pihak MOSTI, tiada sebarang peruntukan perundangan atau pentadbiran oleh Kerajaan Australia untuk menempatkan kilang seperti LAMP, di luar jarak 30 kilometer dari kawasan penempatan penduduk;

Penjelasan-penjelasan ini jelas memberikan jawapan saintifik bahawa dedahan sinaran dari bahan mentah dan sisa buangan Projek LAMP adalah pada tahap yang dibenarkan dan terangkum dalam standard yang dibenarkan di bawah kawal selia agensi serta badan pengawal yang berkaitan. Sungguhpun demikian, sebagai langkah untuk meningkatkan keyakinan awam, Jawatankuasa mengesyorkan perkara-perkara berikut:

agar pemantauan berterusan aras sinaran (radiation level) dijalankan oleh AELB dan Lynas secara berkala seperti yang diperuntukan di bawah Akta 304 dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti Peraturan-peraturan Perlindungan Sinaran (Perlesenan) 1986, Peraturan-peraturan Perlindungan Sinaran (Pengangkutan) 1989, Peraturan-peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Sinaran Keselamatan Asas) 2010, Peraturan-peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Pengurusan Sisa Radioaktif) 2011 dan peraturan-peraturan lain yang berkaitan dengannya.

1. agar Radiological Impact Assessment dikemaskinikan di setiap peringkat perlesenan dan dari masa ke semasa berdasarkan saranan Laporan International Atomic Energy Agency (IAEA).

1. bahawa keperluan perundangan mengenai pengangkutan bahan radioaktif diselaraskan dengan standard terkini antarabangsa pada suatu masa yang difikir wajar bagi memastikan orang awam membuat penafsiran yang tepat mengenai bahan radioaktif.

1. supaya fakta-fakta mengenai perbezaan tahap dos sinaran di Projek LAMP yang lebih rendah dan terkawal berbanding dengan projek ARE dimaklumkan kepada pihak awam secara meluas.


Aspek kesihatan

Jawatankuasa mengambil maklum pandangan pelbagai pihak bahawa tahap dedahan sinaran dari Projek LAMP berpotensi untuk memudaratkan kesihatan awam dan secara langsung berupaya meningkatkan bilangan kes berkaitan kanser atau seumpamanya. Perbandingan kebanyakannya dibuat dengan Projek ARE di Bukit Merah dan insiden kes-kes kanser di kawasan sekitarnya telah dijadikan sandaran. Jawatankuasa telah mengambil pendekatan untuk mengemukakan kebimbangan ini kepada kumpulan pakar untuk mendapatkan penjelasan bersandarkan sains. Pandangan pakar-pakar kesihatan yang dirujuk adalah seperti berikut:

Atas sifat dan operasi Projek LAMP yang lebih tertumpu dan melibatkan tindakbalas kimia dan fizikal (cracking, leaching, extraction and finishing) dalam menghasilkan lanthanum dan tiada sama sekali unsur tindakbalas nuklear, maka Projek LAMP mempunyai risiko kesihatan yang jauh lebih rendah berbanding operasi loji nuklear, loji pemprosesan torium dan aktiviti perlombongan.


Jawatankuasa dimaklumkan bahawa perbandingan dengan insiden-insiden kanser di sekitar kilang ARE di Bukit Merah perlulah diasaskan kepada dapatan yang lebih saintifik dan data-data yang bewibawa. Ini ialah kerana tidak ada kajian yang mendalam dan berwibawa berkaitan isu tersebut pernah dijalankan. Ianya juga tidak dapat dikaitkan dengan kilang ARE kerana dos sinaran yang diterima pekerja adalah rendah, malahan pekerja tidak mempunyai masalah kanser atau leukemia. Adalah wajar untuk diambil kira bahawa kebanyakan insiden berkaitan kanser di kawasan Bukit Merah adalah melibatkan masyarakat awam dan bukannya di dalam kalangan pekerja. Dakwaan bahawa berlaku peningkatan sehingga 100 kali ganda, sekiranya benar, kesannya sudah pasti dapat dilihat pada masa kini, iaitu 20 hingga 30 tahun selepas operasi ARE. Bagaimanapun, tiada bukti kadar peningkatan insiden berkaitan kanser di kawasan Bukit Merah dapat dikemukakan kepada Jawatankuasa.

Jawatankuasa turut dimaklumkan bahawa risiko kemudaratan terhadap kesihatan awam adalah sangat rendah kerana anggaran dos sinaran terhadap pekerja dan orang awam daripada projek LAMP adalah masing-masing dalam lingkungan kadar purata 2 mSv (millisievert) dan 0.002 mSv setahun. Kadar ini adalah rendah dan berada dalam julat dos sinaran alam persekitaran (background radiation) di Semenanjung Malaysia iaitu pada kadar 1 hingga 10 mSv setahun.

Jawatankuasa dimaklumkan bahawa insiden berkaitan kanser pada jangkamasa panjang hanya mungkin boleh berlaku jika pekerja dan masyarakat awam terdedah kepada jumlah torium yang besar dan diluar kawalan pihak berkuasa. Pada kadar anggaran pendedahan di Projek LAMP, pendedahan tersebut tidak ‘significant’.

Berdasarkan pandangan-pandangan saintifik diatas, Jawatankuasa berpendapat bahawa potensi kemudaratan Projek LAMP kepada kesihatan awam amatlah ‘remote’. Walaubagaimanapun, bagi memastikan kepentingan masyarakat awam diberikan keutamaan, Jawatankuasa mengesorkan pendekatan-pendekatan berikut:

Untuk memastikan pengukuran kes-kes kesihatan dan kemudaratan kesihatan awam dapat dipantau dengan saintifik pada masa hadapan, Jawatankuasa mengesyorkan kajian baseline kesihatan dimulakan segera. Ia harus meliputi dapatan insiden seperti bilangan kes berkaitan kanser, congenital malformation, asthma dan Upper Respiratory Tract Infection (URTI) dan ia mestilah diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Hasil kajian mestilah diterbitkan sebagai dokumen awam.

Jawatankuasa juga mengesyorkan Health Impact Assessment (HIA) dijalankan serentak dengan Radiological Impact Assessment (RIA).

Bagi memastikan dakwaan dan kesangsian orang awam mengenai Projek ARE di Bukit Merah dapat dirungkai dengan bukti saintifik, Jawatankuasa mengesyorkan kajian lanjut mengenai insiden berkaitan kanser di sekitar Bukit Merah dijalankan dan diterajui oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama AELB.

Aspek Pengurusan Residu



Jawatankuasa berpandangan bahawa isu berkaitan residu juga antara perkara utama yang menjadi fokus kekhuatiran awam. Ini ialah kerana persepsi masyarakat awam bahawa residu Projek LAMP adalah bersifat radioaktif dan pelan bagi pengurusan residu secara total dan kekal telah tidak dikemukakan bagi meyakinkan masyarakat awam. Pengurusan residu meliputi isu berkaitan risiko dan bahaya radiasi, penstoran (RSF), penggunaan semula residu (reuse and recycle), fasiliti pelupusan kekal (PDF) dan penghantaran balik residu ke negara asal (return back to country of origin).

Jawatankuasa mengambil maklum bahawa pihak LAMP telah mengemukakan jaminan, cadangan-cadangan dan langkah-langkah yang memenuhi kehendak-kehendak perundangan, standard keselamatan dan prosedur pengurusan residu di peringkat nasional dan antarabangsa. Antara langkah-langkah tersebut ialah;

Kesemua residu yang dihasilkan akan distor sementara di dalam Kemudahan Penstoran Sementara (RSF) yang terletak di dalam kawasan tapak kilang sebelum pelupusan akhir (final disposal) dilaksanakan.

Projek LAMP akan melakukan program pembangunan dan penyelidikan (R&D) terhadap residu-residu yang terhasil bagi tujuan guna semula dan pengkomersilan. Langkah-langkah ini adalah selaras dengan saranan IAEA mengenai amalan terbaik dalam menangani isu residu yang menyatakan bahawa salah satu pilihan untuk pengurusan sisa radioaktif adalah secara kitar semula. Potensi penggunaan atau perkitaran semula residu (reuse or recycle) boleh dimanfaatkan untuk kegunaan landfill dan bahan asas untuk jalan (material for road base). Ini semua merupakan praktis yang sesuai diamalkan berdasarkan saranan Laporan Health Protection Agency, Center for Radiation, Chemicals and Environmental Hazards, United Kingdom (HPA-CRCE-001) tahun 2012.

Pakar-pakar juga mengesahkan bahawa pernyataan tentang kaedah kitar semula residu sudah ketinggalan zaman adalah tidak tepat dan ianya dinyatakan oleh mereka yang bukan pakar dalam bidang pengurusan residu.

Walaubagaimanapun, Jawatankuasa merasakan bahawa langkah-langkah yang dikemukakan oleh pihak Projek LAMP perlu diperkukuhkan dengan syor-syor berikut;

supaya Projek LAMP mengemukakan hasil penyelidikan pengkitaran semula, pengurangan sisa (waste minimization), penggunaan dan pengkomersilan residu yang dihasilkan kepada agensi pengawal dalam tempoh 10 bulan selepas TOL dikeluarkan;
semua penggunaan semula residu (recycle) hendaklah dipantau dengan ketat oleh AELB dan bahan bahan yang dihasilkan mestilah dibawah paras 1 Bq/g meskipun terdapat negara-negara seperti United Kingdom membenarkan paras 5 Bq/g;
supaya pihak Projek LAMP mengemuka pelan dan lokasi fasiliti pengurusan kekal (PDF) untuk kelulusan AELB dalam tempoh masa lesen dan tidak melebihi 10 bulan daripada tarikh pengeluaran TOL;
supaya pihak Projek LAMP mengemukakan kajian impak alam sekitar komprehensif (DEIA) jika pembinaan PDF diteruskan bagi kelulusan Jabatan Alam sekitar. Ini termasuk melakukan Radiological Impact Assessment (RIA) sebelum apa-apa permohonan lesen berkaitan PDF dikemukakan kepada AELB;
sekiranya dalam tempoh yang ditetapkan, dapatan penyelidikan (R&D) pengkitaran semula tidak meyakinkan dan lokasi PDF tidak dapat dikenal pasti atau diluluskan, maka pihak Projek LAMP hendaklah membawa residu yang dihasilkan keluar dari Malaysia;
AELB mengenakan syarat tambahan yang wajar kepada Projek LAMP untuk mengambil langkah tambahan bagi menjamin perlindungan keseluruhan RSF supaya debu tidak berterbangan ke udara secara bebas atau berlakunya kebocoran ke dalam tanah. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa semua residu akan sentiasa disimpan dalam keadaan 25% – 40% kelembapan; dan
pihak Projek LAMP menghebahkan kepada pihak awam mengenai langkah-langkah kawalan berkesan yang dilaksanakan bagi memastikan Residue Storage Facility (RSF) beroperasi dan berfungsi dengan selamat.

Aspek Alam Sekitar


Tuan Yang di-Pertua,


Jawatankuasa telah mendengar dengan prihatin isu-isu berkaitan pencemaran Sungai Balok, pencemaran logam berat, pencemaran air tanah dan pencemaran udara di kawasan perindustrian Gebeng dalam beberapa sesi pendengaran awam. Isu kegagalan Projek LAMP menyediakan laporan impak alam sekitar komprehensif atau (DEIA) juga dibangkitkan. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa kajian impak alam sekitar ‘preliminary’ (EIA) telah dijalankan dan diluluskan pada 15 Februari 2008 untuk Projek LAMP. Jawatankuasa juga dimaklumkan bahawa kajian Details EIA (DEIA) bukan mandatori dalam prosedur EIA pada waktu itu. Kajian EIA 2008 mendapati bahawa tiada kesan signifikan kepada kualiti udara, kualiti air dan air tanah di sekitar tapak Projek LAMP termasuklah kepada penduduk terdekat.

Jawatankuasa berpandangan bahawa langkah-langkah kawalan yang lebih ketat dan berkesan perlu diambil bagi meminimumkan potensi pencemaran dan kesan-kesan yang negatif kepada alam sekitar. Sehubungan itu Jawatankuasa mengesyorkan agar:

pemantauan yang ‘rigorous’ dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 1978, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005;
data-data garis dasar alam sekitar dan pemantauan alam sekitar yang dicerap oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak LAMP dipaparkan di laman web JAS setiap tiga bulan sekali; dan
dijalankan audit alam sekitar oleh pihak ketiga yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar setiap enam bulan bagi menyemak status pematuhan Projek LAMP terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Proses Kelulusan dan Pelesenan

Jawatankuasa berpandangan bahawa terdapat kebimbangan awam tentang ketelusan proses pengeluaran lesen kepada pihak Projek LAMP. Jawatankuasa berpandangan bahawa semua aspek permohonan oleh Projek LAMP harus berdasarkan ‘full and extensive disclosure’ bagi memastikan aspek perlesenan dilaksanakan secara telus dan berwibawa.

Jawatankuasa mengambil maklum bahawa semua proses pengeluaran lesen yang telah dikeluarkan kepada Projek LAMP adalah teratur dan memenuhi syarat-syarat perundangan dan kerangka peraturan yang berkuatkuasa. Jawatankuasa juga dimaklumkan bahawa Projek LAMP telah dikehendaki memenuhi syarat dan keperluan tambahan prosedur pengeluaran lesen yang dikeluarkan oleh semua agensi berkaitan.


Berikut adalah proses kelulusan lesen yang telah diberikan kepada Projek LAMP :

Pada 24 Oktober 2008, Projek LAMP telah diberi Lesen Pengilang di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 yang berkuatkuasa mulai 22 Januari 2008 untuk beroperasi di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang bagi keluaran (products) “rare earth oxides and carbonates” yang dikategorikan di bawah keluaran kimia. Lesen ini dikeluarkan setelah mendapat kelulusan Laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar dan kelulusan tapak daripada Kerajaan Negeri Pahang;
Projek LAMP telah memperolehi kelulusan Laporan Environmental Impact Assessment (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang melalui surat kelulusan Laporan EIA bertarikh 15 Februari 2008. Pada tahun 2008, tiada keperluan untuk Projek LAMP melalui prosedur kajian DEIA;
Projek LAMP juga telah memperolehi kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Management Plan, EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang pada 10 Disember 2008 bagi fasa pembinaan dan pada 23 Disember 2011 bagi fasa operasi;
Permohonan Kebenaran Merancang dipohon oleh Lynas pada 22 Januari 2008 dan telah diluluskan pada 5 Jun 2008. Permohonan Kebenaran Merancang adalah mengikut peruntukan Seksyen 21 Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 [Akta 172] bagi tujuan memastikan sebarang pembangunan yang dicadangkan adalah selaras dengan rancangan tempatan Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran Kuantan;
Tapak kilang Lynas (M) Sdn. Bhd. telah didaftarkan sebagai tapak bina dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) melalui borang JKJ103 oleh kontraktor utama iaitu United Group Resources dan telah mendapat kelulusan pada 9 Jun 2010 bagi fasa pertama di bawah seksyen 35 Akta Kilang dan Jentera 1967 [Akta 139]; dan
Lesen-lesen yang diluluskan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) adalah di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304] Perenggan 12(1)(b). Lesen Kelas A (Penempatan Tapak) dan (Pembinaan) Projek LAMP telah diluluskan pada 17 Ogos 2007. Lesen Kelas A (Pengendalian Sementara, TOL) telah diluluskan pada 30 Januari 2012.


Pada 13 Mei 2011, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan perlantikan Panel Pakar Bebas Antarabangsa dari IAEA bagi mengkaji semula aspek kesihatan dan keselamatan projek Lynas berikutan kebimbangan mengenai projek ini yang disuarakan oleh orang awam. Laporan Panel Pakar Bebas IAEA telah disiarkan kepada umum pada 30 Jun 2011. Cadangan penambahbaikan telah dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia (termasuk Lynas) dan ia telah dilaksanakan.

Jawatankuasa merumuskan bahawa Projek LAMP telah mematuhi semua keperluan yang diperuntukkan di bawah rangka peraturan dan undang-undang negara yang berkuatkuasa. Sungguhpun demikian, Jawatankuasa mengesyorkan Lesen Premis hanya dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kepada Lynas setelah memenuhi semua kelulusan dan pengeluaran lesen dari AELB.

Memperkasakan Agensi Penguatkuasa Bagi Projek LAMP

Jawatankuasa merumuskan bahawa terdapat tanggapan negatif terhadap kewibawaan dan keberkesanan agensi-agensi yang dipertanggungjawab untuk mengawal selia Projek LAMP. Jawatankuasa berpandangan bahawa tanggapan ini perlu ditanggani kerana ia hanya diasaskan pada persepsi semata-mata. Jawatankuasa mengambil maklum pengiktirafan IAEA terhadap pengalaman, kepakaran dan kebolehan AELB sebagai agensi penguatkuasa dalam Projek LAMP. Ia boleh dikukuhkan lagi melalui penglibatan agensi penguatkuasa lain dari peringkat seawal mungkin sehingga ke pengoperasian.

Bagi meningkatkan keupayaan agensi-agensi penguatkusa, Jawatankuasa mengesyorkan:

1. berdasarkan kepada beban, mandat dan bidang tugas tambahan AELB yang bertambah luas maka struktur perjawatan dan peruntukan kewangan untuk AELB perlu diberikan perhatian secara khas;
supaya agensi penguatkuasa lain yang mengawalselia Projek LAMP khususnya Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Kuantan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) turut diperkasakan sama dengan saranan di atas;
supaya penubuhan pejabat cawangan Jabatan Alam Sekitar dan AELB diwujudkan dan bertempat di kawasan perindustrian Gebeng dengan segera. Ini bagi memenuhi keperluan pengawalseliaan dan pemantauan yang lebih responsif; dan
satu Jawatankuasa Penyelaras Penguatkuasaan ditubuhkan bagi Projek LAMP yang dipengerusikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan iaitu MPK dan dianggotai oleh AELB, JAS, DOSH dan KKM.

Pelaburan dan Sosio-Ekonomi


Tuan Yang di-Pertua,


Jawatankuasa bertanggungjawab untuk menjelaskan beberapa persepsi yang tidak tepat berkenaan manfaat sosio-ekonomi Projek LAMP terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Jawatankuasa dimaklumkan bahawa Projek LAMP telah diberi insentif pengecualian cukai selama 12 tahun of Kerajaan. Jawatankuasa juga merumuskan bahawa faedah ekonomi pelaburan dalam Projek LAMP ini adalah seperti berikut;



Peningkatan pendapatan pertukaran mata wang asing melalui pelaburan sebanyak RM2.5 bilion;
Pemindahan teknologi dengan menyediakan latihan berjumlah RM2.7 juta setahun kepada pekerja tempatan;
Peruntukan sebanyak 1 peratus daripada jumlah jualan kasar setahun untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan. 50 peratus dari jumlah ini adalah bagi membiayai aktiviti penyelidikan saintifik pengurusan residu. Bagi tahun pertama operasi, jumlah perbelanjaan R&D dianggarkan sebanyak RM35 juta;
Penjanaan aktiviti ekonomi perkhidmatan yang dianggarkan sebanyak RM65.8 juta setahun.
Kewujudan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi termaju yang melibatkan 400 pekerja tetap dan 200 pekerja kontrak. Hampir kesemua pekerja di Projek LAMP adalah tenaga mahir tempatan kecuali 5 tenaga pakar asing.
Potensi untuk menarik pelaburan baru terutama dalam sektor hiliran berteknologi tinggi yang akan menggunakan hasilan Projek LAMP sebagai bahan mentah/ input. Industri yang menjadi sasaran ialah yang berkaitan dengan pembangunan produk telekomunikasi, pemacu cakera, catalytic converter, turbin angin, bateri kereta hibrid dan paparan skrin rata;
Spin-off kepada indusri sokongan huluan tempatan:
Kilang baru sulphuric acid di Gebeng dengan pelaburan sebanyak RM200 juta;
Pembesaran aktiviti kilang pemprosesan Hydrochloric Acid di Kemaman yang melibatkan pelaburan RM100 juta; dan
Fasiliti tambahan pembekal Hydrated Lime, RM5 juta.


Mengapa Malaysia Sebagai Destinasi Pilihan.

Jawatankuasa menyedari bahawa persoalan yang paling banyak berlegar di pemikiran rakyat ialah mengapa Malaysia dipilih untuk menjadi tapak Projek LAMP. Dapatan Jawatankuasa mendapati bahawa Lynas Corporation mempunyai beberapa pilihan bagi operasi mereka termasuk di Australia. Destinasi lain ialah China dan UAE. Namun Malaysia telah dipilih bersandarkan faktor berikut.

Pada Januari 2004, Syarikat Lynas telah mendapat lanjutan tempoh lesen daripada Kerajaan Australia Barat untuk beroperasi di Meenar Industrial Park, Perth. Walau bagaimanapun, syarikat mendapati adalah tidak ekonomik untuk beroperasi di Australia kerana kos infrastruktur dan utiliti seperti air dan elektrik yang tinggi. Kos utiliti air di Australia dianggarkan dalam lingkungan RM6 per meter padu berbanding kos di Malaysia iaitu sebanyak RM0.84 per meter padu. Kos tenaga elektrik pula adalah RM0.23 per kilowatt jam berbanding RM0.96 per kilowatt jam di Australia. Bagi kos bahan kimia yang digunakan iaitu caustic soda, Projek LAMP membayar RM500 per tan berbanding RM1,500 per tan di Australia. Sehubungan itu pengoperasian Projek LAMP di Malaysia adalah lebih ekonomik berbanding di Australia.

Lynas Corporation turut memaklumkan, selain daripada Australia dan Malaysia, Lynas juga mendapat kelulusan untuk beroperasi di China. Namun disebabkan dasar Kerajaan China yang mengenakan syarat kuota eksport, maka ia adalah kekangan kepada pertumbuhan syarikat. Dasar kuato eksport tersebut, pada waktu ini, sedang dicabar oleh beberapa negara, iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kesatuan Eropah sebagai bertentangan dengan semangat dan obligasi China sebagai anggota World Trade Organisation (WTO). Ia pada waktu ini sedang dipertikaikan di bawah mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Malaysia mempunyai persekitaran perniagaan dan pelaburan yang kondusif. Pelabur seperti Lynas Corporation mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap sistem perundangan dan kawal selia yang diguna pakai di Malaysia selain faktor seperti kestabilan politik, sumber daya kerja yang kompeten dan prasarana yang maju.

Jawatankuasa berpandangan bahawa keputusan Lynas Corporation untuk menempatkan operasi Projek LAMP di Malaysia adalah paparan keyakinan tinggi pelabur asing terhadap pelaburan di Malaysia serta kebolehsaingan Malaysia dalam pelbagai aspek terutama yang melibatkan industri berteknologi termaju. Oleh itu, Projek LAMP haruslah dianggap sebagai satu cabaran untuk Malaysia memaparkan kewibawaannya sebagai sebuah negara yang mampu mengurus pelaburan yang mempunyai cabaran teknologi dan kepentingan saintifik yang bernilai tinggi. Kejayaan Malaysia mengurus pelaburan teknologi termaju ini akan menjadikan Malaysia lebih bersedia untuk diiktiraf sebagai sebuah negara maju.

Jawatankuasa berpandangan bahawa bagi memastikan negara mendapat faedah-faedah yang akan meningkatkan keupayaan saintifik dan teknologi Malaysia, langkah-langkah berikut adalah dicadangkan:

1.  supaya 1 peratus peruntukan dari pendapatan kasar projek LAMP setiap tahun di khaskan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan keupayaan saintifik berkaitan teknologi nadir bumi. 50 peratus daripadanya adalah bagi maksud untuk melaksanakan aktiviti penyelidikan yang akan diselia oleh sebuah jawatankuasa yang akan ditubuhkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Manakala 50 peratus lagi untuk aktiviti penyelidikan pengurusan residu dan diselia oleh AELB;
1.  supaya kesemua aktiviti penyelidikan dan pembangunan keupayaan saintifik yang berkaitan dengan nadir bumi mesti dikendalikan di Malaysia dengan kerjasama universiti dan pusat penyelidikan saintifik tempatan;
supaya peluang penglibatan pengusaha tempatan ditingkatkan bagi menceburi bidang industri hiliran berteknologi tinggi yang menggunakan produk nadir bumi;
apabila terdapatnya industri tempatan yang menggunakan produk projek LAMP sebagai bahan mentah wujud di negara ini, maka langkah-langkah sewajarnya seperti memperkenalkan cukai eksport perlu dilaksanakan. Ini dapat memastikan bekalan bahan mentah bagi industri tempatan adalah mencukupi.

‘Engagement’ Berkesan Dengan Masyarakat Awam

Jawatankuasa berpandangan bahawa masalah utama Projek LAMP ialah persepsi yang serong kerana kurangnya ‘public engagement’. Adalah sesuatu yang munasabah untuk sebuah projek yang berskala besar untuk melakukan ‘rigorous process of public engagement’. Jawatankuasa merasakan bahawa jika perkara ini dilaksanakan seawal cadangan Projek LAMP dikemukakan kepada kerajaan, maka keyakinan awam akan pasti dapat dipertingkatkan.

Walaupun Jawatankuasa dimaklumkan bahawa aktiviti engagement bersama pelbagai kumpulan masyarakat telah diadakan dalam menyalurkan informasi berkenaan projek LAMP oleh agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan, ternyata ia amat terbatas dan kurang berkesan. Jawatankuasa dimaklumkan bahawa pihak Projek LAMP telah menerima lawatan orang ramai ke tapak projek bagi memberi penerangan sebenar mengenai projek dan teknologi yang digunapakai, dan ini merupakan satu usaha yang baik.

Bagi mengukuh dan menginstitusikan mekanisme ‘public engagement’ Jawatankuasa mengesyorkan perkara-perkara berikut:

Pihak Projek LAMP perlu menyediakan akses kepada orang awam, badan profesional, kumpulan wakil penduduk serta masyarakat sivil untuk mendapatkan maklumat dan data pemantauan / pengawasan secara atas talian (online) dan mengadakan paparan bacaan semasa kualiti udara dan kualiti air di hadapan premis Projek LAMP;


aktiviti-aktiviti penglibatan orang awam dipertingkatkan seperti saranan IAEA bagi penyebaran maklumat seperti berikut:

Membangun dan menyediakan maklumat penglibatan awam mengenai keselamatan sinaran yang lebih mudah difahami dan langkah-langkah dalam proses perlesenan dan proses membuat keputusan;

Memaklum dan melibatkan pihak yang berkepentingan, termasuk orang ramai, berhubung strategi dan semua aspek pengawalseliaan Projek LAMP.

Menyediakan secara rutin semua maklumat yang berkaitan dengan keselamatan Projek LAMP dan memastikan bahawa orang awam tahu bagaimana untuk mendapat akses kepada maklumat ini;

Lynas Corporation sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan Projek LAMP mesti senantiasa meningkatkan komunikasi dengan pihak-pihak berkepentingan

supaya MITI / MIDA menimbangkan keperluan untuk mengenakan syarat public engagement dari peringkat awal kepada syarikat bagi projek yang melibatkan bahan radioaktif yang tertakluk kepada keperluan RIA daripada AELB.

Rumusan Jawatankuasa Pilihan Khas


Tuan Yang di-Pertua,


Setelah meneliti, merujuk dan membahaskan dengan terperinci semua pandangan yang dikemukakan, Jawatankuasa telah merumuskan, bahawa kelansungan Projek LAMP hanya boleh disandarkan dengan dapatan saintifik. Jawatankuasa berpandangan bahawa tanpa alasan saintifik, maka kebenaran yang sebenar dan pertimbangan rasional akan dipolimik dan dikesampingkan. Oleh itu, Jawatankuasa merumuskan, dengan berdasarkan dapatan sains dan alasan teknikal yang berwibawa, perkara-perkara berikut;

Jawatankuasa berpuas hati bahawa bersandarkan dapatan dan fakta saintifik yang dikemukakan, takrifan undang-undang dan ‘expert opinion’, Projek LAMP adalah merupakan kilang pemprosesan kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji nuklear ataupun suatu aktiviti perlombongan.
Jawatankuasa berpandangan bahawa operasi Projek LAMP akan menggunakan teknologi termaju dan mempunyai kepakaran yang berwibawa untuk mematuhi semua obligasi standard dan kawalselia yang ‘rigorous’.
Jawatankuasa berpuas hati bahawa Projek LAMP telah memenuhi dan mematuhi keperluan standard dan perundangan di Malaysia yang setaraf dengan amalan dan standard antarabangsa. Malahan, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang dikenakan ke atas Projek LAMP adalah lebih ketat berbanding amalan standard antarabangsa.
Jawatankuasa berkeyakinan bahawa Projek LAMP telah menyediakan sistem kawalan yang diperlukan, seperti yang telah ditetapkan di dalam perundangan kebangsaan dan standard antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam serta perlindungan alam sekitar tidak terjejas atau dikompromi, bagi membolehkan kilang mula beroperasi secara sementara.
Jawatankuasa mengesyorkan agar lesen Kelas A ( Mengilang-Peringkat Pengendalian Sementara ) atau (Temporary Operating Licence – TOL ) dikeluarkan supaya Projek LAMP dapat mengilang bahan mentah pekatan lantanid secara berperingkat dan terhad serta dikawalselia secara berterusan oleh agensi penguatkuasa. Di peringkat ini, LAMP perlu mematuhi kesemua syarat-syarat lesen yang lazim dan syarat-syarat tambahan yang telah dikenakan di dalam lesen TOL ini. Data yang diperolehi di peringkat ini akan menjadi asas kepada pertimbangan proses perlesenan selanjutnya.
Jawatankuasa mengesyorkan satu Jawatankuasa Pemantauan (monitoring committee) dibentuk secara khusus bagi memantau secara berterusan operasi Projek LAMP. Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan serta penglibatan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGOs) dan pakar bertauliah.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya kesemua syor-syor yang telah dikemukakan ini dilaksanakan dengan sewajarnya.

Tuan Yang di-Pertua,


Setakat itu sahaja pembentangan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) yang mengandungi 31 syor Jawatankuasa. Maklumat lebih terperinci boleh diperolehi daripada Laporan Jawatankuasa yang telah diedarkan. Suka saya maklumkan bahawa kesemua syor yang dikemukakan telah dipersetujui sebulat suara oleh semua ahli Jawatankuasa.

Pihak Jawatakuasa ingin membuat penegasan bahawa semua persoalan yang telah dikemukakan telah dirujuk kepada kumpulan pakar untuk mendapatkan penjelasan saintifik. Jawatankuasa menyedari bahawa mandat jawatankuasa adalah untuk mencari kebenaran dan kebenaran dalam sains hanya akan dapat dipersembahkan melalui pembuktian berdasarkan dapatan dan penjelasan sains jua. Tiada tempat untuk pertimbangan emosi dan politik bagi kelangsungan projek-projek berteknologi termaju yang ingin dilaksanakan di Malaysia.

Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa, mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) atas usaha dan kesungguhan mereka dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Dewan Rakyat.

Jawatankuasa juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuklah individu, persatuan-persatuan, pergerakan sivil, parti politik dan orang persendirian yang telah memberikan kerjasama dengan tampil di hadapan Jawatankuasa untuk memberi keterangan dan mengemukakan memorandum dan cadangan berkaitan Projek LAMP.

Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat iaitu Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kepada pihak Parlimen Malaysia atas sumbangan yang dicurahkan untuk menyempurnakan fungsi-fungsi dan peranan Jawatankuasa ini berlandaskan kepada terma rujukan selaras dengan tujuan penubuhannya.



Sekian, saya mohon mencadangkan.

No comments:

Post a Comment