Polis kesal perhimpunan tak ikut peraturan

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kesal dengan tindakan Himpunan Anti-Lynas yang mengadakan perhimpunan di Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini, kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan termasuk menggunakan kanak-kanak sebagai peserta.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof, berkata walaupun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku, pihaknya kesal kerana perhimpunan itu dilakukan di kawasan yang tidak sesuai sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang lima kilometer.

"Penganjur (Anti-Lynas) boleh buat bantahan, tetapi perlu guna cara yang betul. Macam yang kita lihat hari ini (semalam) mereka langgar peraturan iaitu mengadakan perhimpunan di jalan raya sehingga jalan sesak.


"Mereka juga sepatutnya menghantar permohonan mengadakan perhimpunan 10 hari sebelum diadakan tetapi mereka hanya berbuat demikian dua hari lalu," katanya selepas perhimpunan itu bersurai, di sini semalam.

Antara pemimpin yang hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said dan aktivis sosial, Hishamuddin Rais. 
-BERNAMA

Berita Harian, Page: 20
Monday, 25 June 2012

No comments:

Post a Comment