500 wakili 43 NG0 berhimpun sokong Lynas

KUANTAN: Lebih 500 orang mewakili 43 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Gabungan NGO Pahang Mendukung Agenda Untuk Nasional (DAUN) berhimpun di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, Kemunting di sini, semalam.

Perhimpunan bermula jam 9.45 pagi itu bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan dan projek nadir bumi oleh Syarikat Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng.

Perhimpunan turut mendesak Pejabat Peguam Negara." menjalankan siasatan dan seterusnya mendakwa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan memiliki 21 akaun induk dengan dana RM3 bilion.


Penyelaras DAUN, Wan Emril Nizam Wan Embong, berkata isu Lynas dijadikan bahan politik sempit pihak tertentu walaupun projek itu sudah disahkan selamat oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

"Tujuan utama DAUN ditubuhkan adalah bagi memberikan maklumat tepat kepada orang ramai mengenai isu Lynas. Banyak maklumat penting sudah dipesongkan oleh pihak tertentu demi mempertahankan perjuangan politik mereka.

"Bukan saja projek itu disahkan selamat AELB, bahkan kerajaan sudah mendapat pandangan pakar daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta menunjukkan komitmen dalam memastikan projek Lynas ini benar-benar selamat dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi memantau isu berkenaan," katanya.

Beliau berkata, apa saja keputusan diumumkan PSC esok (hari ini) di Parlimen, DAUN akan terus menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan.

"Tidak ada mana-mana kerajaan di dunia yang ingin membahayakan rakyatnya, dan kami yakin kerajaan Malaysia juga sentiasa mengambil berat mengenai keselamatan penduduk," katanya.

Mengenai desakan untuk mendakwa Anwar, beliau berkata siasatan lanjut perlu dilakukan bagi membuktikan kebenaran dakwaan dibuat bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid mengenai pemilikan 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang dikawal Ketua Pembangkang itu pada 1999.

Selain itu pada perhimpunan hampir dua jam berkenaan, Wan Emril turut meminta semua pihak menghormati kedaulatan Raja-raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu.

Resource: Berita Harian, Page: 25
Date: Monday, 18 June 2012

No comments:

Post a Comment