Parti politik disaran lawat kilang Lynas

KUANTAN - Jawatankuasa khas Gerakan mengenai Lynas yang melawat kilang itu semalam berpuas hati dengan penjelasan pihak pengurusan kilang dan menyarankan lawatan serupa dibuat organisasi serta parti politik lain.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Dr. Lim Thuang Seng berkata, hanya dengan cara itu mereka dapat melihat gambaran sebenar mengenai operasi kilang berkenaan.

"Hasil lawatan hari ini (semalam), kami dimaklum radioaktif berada di tahap sangat rendah namun kami memberi tumpuan kepada proses pengekstrakan nadir bumi yang akan melibatkan jumlah bahan kimia yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan selama lima jam di kilang itu di sini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Lynas Malaysia Sdn. Bhd., Datuk Mashal Ahmad berkata, pihaknya bersedia menerima kunjungan organisasi dan parti politik yang mahu melawat kilang berkenaan.

"Mereka boleh memeriksa semua dokumen yang relevan dan membawa pakar-pakar mereka sendiri untuk melakukan persampelan bersama di tapak projek," katanya.

THUANG SENG (tengah) diberi penerangan oleh Pengurus Jurutera Lynas Malaysia Sdn. Bhd., T.E. Wee (kiri) semasa melawat kilang Lynas di Gebeng, Kuantan semalam.

Tarikh: Rabu, 30 Mei 2012
Sumber: KOSMO, M/S: 6

No comments:

Post a Comment