Kenyataan Akhbar

YB. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai
Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP)
pada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai
Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) Bil. 2/2012
di Parlimen Malaysia

1. Jawatankuasa Plilihan Khas Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMPS) telah mengadakan mesyuarat kedua pada 3 Mei 2012. Mesyuarat bertujuan mendapatkan penerangan dan penjelasan pelbagai aspek saintifik dan bukan teknikal berkaitan dengan permohonan operasi loji nadir bumi oleh Lynas Corporation. Kementerian dan Agensi Pengawal yang terlibat adalah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


2. Mesyuarat kali ini telah meneliti dengan mendalam isu-isu berkaitan sejarah permohonan pelaburan Lynas Corporation, aspek-aspek perlesenan, pelan pengurusan alam sekitar, standard dan piawaian kawalan bahan radioaktif dan potensi pencemaran alam sekitar dampak operasi loji nadir bumi di Gebeng, Kuantan, Pahang. Mesyuarat telah diberikan penerangan khusus tentang kepentingan saintifik nadir bumi sebagai satu komoditi strategik yang mempunyai potensi besar untuk pembangunan dan kemajuan sains dan teknologi. Selain itu, kemungkinan kesan radiasi terhadap kesihatan awam juga dibincangkan dengan mendalam.

3. Jawatankuasa Pilihan Khas juga diberikan penjelasan pelbagai sudut tentang kerangka perundangan dan peraturan negara berkaitan kawal selia standard dan keselamatan radiasi. Ini termasuk beberapa aspek kawalan di mana Malaysia mempunyai amalan yang lebih ketat dan tinggi dari keperluan standard dan amalan antarabangsa.

4. Susulan dari meyuarat ini, Jawatankuasa akan mengadakan lawatan ke tapak pembinaan loji nadir bumi Lynas Corporation di Kuantan pada 10 Mei 2012. Beberapa sesi pendengaran awam juga akan diadakan di Kuantan pada 10 dan 11 Mei 2012 bertempat di Universiti Malaysia Pahang (UMP) diikuti dengan sesi selanjutnya di Bilik Jawatankuasa 2, Parlimen Malaysia pada 21 Mei 2012.

5. Sehubungan itu, pihak Jawatankuasa menyeru agar semua pemegang taruh dan mereka yang berkepentingan serta prihatin terhadap isu pembinaan loji nadir bumi oleh Lynas Corporation ini dapat menghadirkan diri bagi memberikan penjelasan, pandangan dan apa jua maklumat berkaitan semasa sesi pendengaran awam itu nanti. Penglibatan semua pemegang taruh, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat umum akan pasti membantu pihak Jawatankuasa untuk mendapatkan dapatan yang benar, membina, bebas serta berwibawa.

Tarikh : 3 Mei 2012

No comments:

Post a Comment