Henti Putarbelit Isu Lynas

KUANTAN: Usaha memburukkan kerajaan dengan memutarbelitkan isu berkaitan pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas (Malaysia) Sdn. Bhd. perlu dihentikan kerana ia boleh mengelirukan orang ramai, terutama penduduk kampung. Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Isap Jaya, Awang Deraman berharap semua pihak berhenti menjadikannya isu semata-mata untuk kepentingan politik masing-masing.

Kami berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan syarikat dan percaya ia tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat, terutama penduduk setempat.

"Sehubungan itu, kami berharap pihak yang masih beranggapan negatif turut sama mendengar taklimat dan penerangan yang diberikan Lynas supaya mereka sendiri tidak terkeliru dengan fakta yang dipesongkan." katanya di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas hadir mendengar penjelasan operasi kilang itu yang disampaikan Pensyarah Program Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Ismall Bahari.


Lebih 140 penduduk dan Kampung Sungai Isap Jaya turut hadir mendengar taklimat itu.

Awang berkata, taklimat yang diberikan kepada penduduk berjaya merungkai kerunsingan penduduk selama ini kerana bimbang dengan pencemaran dan kesan radiasi daripada kilang yang bakal beroperasi di Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini.

"Selepas menghadiri taklimat ini, saya berpendapat tohmahan yang dilemparkan pihak terbabit tidak benar sama sekali.

Malah, isu radiasi yang sering dilaungkan mereka nyata meleset kerana kadarnya terlalu rendah dan tidak memberi kesan kepada penduduk.

Usaha kerajaan menarik pelabur ke negeri ini adalah satu langkah tepat bagi memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat." katanya.

Selain itu, beliau berkata, penempatan kilang berkenaan bukan sahaja mengubah landskap pembangunan kawasan itu, malah secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk.

Sementara itu. Ismail berkata, “Orang ramai perlu diberikan maklumat tepat mengenai operasi kilang berkenaan bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu sebenar maklumat yang tidak tepat boleh memberi tanggapan negatif sehingga boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negeri dan negara.”

“Setakat ini, siri penerangan yang diadakan untuk penduduk sekitar daerah ini mendapat sambutan baik dan reaksi positif daripada masyarakat setempat selepas mereka mendapat gambaran yang lebih jelas.” katanya.

Sumber : Berita Harian - Monday, 30 January 2012

No comments:

Post a Comment